Artikel

Penyertaan Wanita Pada Peranan Pengurusan Kanan Meningkat 37% – Laporan

Meskipun ekonomi negara mengalami cabaran berhubung pekerjaan pada 2020 – namun nyata penyertaan wanita pada bahagian pimpinan pengurusan kanan kini telah meningkat kepada 37% berbanding 31% pada tahun sebelumnya.

Kadar penyertaan itu telah diperlihatkan pada Laporan Wanita Dalam Perniagaan – Grant Thornton. Catatan itu jelas menunjukkan prestasi penglibatan wanita di negara telah meningkat – memaparkan keyakinan pasaran juga turut meningkat.

Apa yang menggembirakan adalah peratusan tersebut telah melebihi purata 30% iaitu purata minimum untuk perwakilan dalam penglibatan perniagaan dan melebihi paras minimum global. Perkara ini memberikan pembaharuan kepada proses membuat keputusan dasar pada peringkat pentadbiran pengurusan.

Tinjauan Grant Thornton turut mendedahkan terdapat lebih banyak penglibatan wanita di seluruh peranan eksekutif senior pada operasi Malaysia berbanding tahun lalu, dengan peratusan Ketua Pegawai Kewangan Wanita meningkat 12% hingga 41%, Ketua Pegawai Pemasaran Wanita meningkat 14% hingga 36% (ini paling tertinggi di Asean) dan Ketua Pegawai Maklumat Wanita pula meningkat 3% hingga 20%.

Meskipun begitu, secara menyeluruh jurang indeks gender Malaysia (MGGI) negara menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) masih lagi tidak seimbang dengan mencatatkan 0.709 mata. Ia masih rendah.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebelum ini telah memperkenalkan Indeks Jurang Gender Dunia (GGI) di mana sekiranya sesebuah negara mencapai skor 1.0 (100%) maka keseimbangan penyertaan ekonomi dalam gender adalah baik dan seimbang.

Tetapi menerusi peningkatan wanita pada bahagian pengurusan ini – secara jelas kemahiran mereka mulai disedari dan digunapakai untuk pasaran negara. Pemerkasaan penglibatan wanita ini sudah pasti dapat merancakkan lagi dinamik ekonomi negara dalam meningkatkan semula pertumbuhan di kala pandemik COVID-19.