Pelbagai cadangan dan kaedah pemulihan sedang digarapkan pada penstrukturan semula Malaysia Airlines di bawah kelola Khazanah Nasional Bhd.
Bagi memastikan kelangsungan entiti tersebut, Khazanah kini telah berkerjasama dengan pihak kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam memulakan semula perjalanan udara mereka. Khazanah dilaporkan akan memperuntukkan suntikan modal sehingga RM3.5 bilion bagi perancangan penstrukturan semula Malaysia Airlines sehingga tahun 2025.
Usaha itu untuk memulihkan kembali sektor penerbangan, serta memperkasakan semula permintaan pasaran perjalanan udara. Suntikan dana itu dilihat dapat membuka lebih banyak peluang Malaysia Airlines dalam meningkatkan imej mereka sebagai kumpulan pemacu pelancongan global.
Untuk makluman, Disember 2020 tahun lalu turut menyaksikan sokongan dana sekitar RM50 bilion dengan jaminan 80% pada Skim Jaminan Danajamin telah ditawarkan kerajaan sebagai pembiayaan modal syarikat. Dana sokongan itu bagi membantu kelangsungan operasi Malaysia Airlines di kala pandemik mulai meruncing pada tahun lalu.