Artikel

AirAsia Food Kini Tembusi Pasaran Singapura – Tingkatkan Persaingan Bersama GrabFood, Foodpanda

Seperti yang umum ketahui, Disember 2020 lalu – AirAsia Food telah menyatakan hasrat mereka untuk tembusi pasaran penghantaran makanan di negara jiran, Singapura.

Ternyata hasrat itu mulai dilaksanakan pada pasaran penghantaran makanan Singapura sejak 2 Mac lalu. Berdasarkan pelaporan, sekitar 24 cawangan makanan dan minuman telah disenaraikan pada aplikasi di negara tersebut.

Berdasarkan pelaksanaan, AirAsia Food menyatakan yuran penghantaran dikenakan sekitar 5% iaitu lebih rendah berbanding pesaing mereka. Pengurangan kadar komisen juga dengan hanya 15% ini bertujuan untuk memastikan para pengguna dapat menikmati harga hidangan yang lebih rendah.

Laporan menyatakan pengenaan kadar komisen bagi pesaing lain adalah pada purata 25% hingga 35%, jauh lebih tinggi berbanding AirAsia Food. Meskipun begitu, AirAsia Food tetap menjelaskan jumlah pendapatan pekerja penghantaran adalah berbeza berdasarkan jadual dan masa bekerja mereka.

Untuk makluman pengguna Singapura sehingga 16 Mac, penawaran penghantaran secara percuma akan dilakukan selama 2 minggu untuk pesanan bagi jarak 8 kilometer dengan lokasi pengguna.

Turut difahamkan, setelah menembusi sasaran Singpura – AirAsia Food merancang untuk meluaskan perkhidmatan tersebut ke Thailand, Indonesia dan Filipina menjelang akhir tahun ini.

Tahun lalu, Tony Fernandes – Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia pernah berkongsikan gambar beliau yang turut serta dalam proses penghantaran makanan kepada pelanggan di Malaysia bagi mempromosikan segmen AirAsia Food.