Artikel

Selangor, KL, Johor Dan Pulau Pinang Kini Di Bawah Pelaksanaan PKPB – Mulai 5 Mac Ini

Sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, negeri Selangor, Johor dan Pulau Pinang kini ditukarkan kepada status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tindakan ini berkuat kuasa bermula 5 Mac hingga 18 Mac 2021.

Keputusan tersebut telah diteliti berdasarkan penilaian risiko bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ini kerana kadar kebolehjangkitan dan aliran penularan COVID-19 negara telah memaparkan penurunan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri – semua pihak perlu akur akan keputusan ini, pematuhan SOP masih diteruskan seperti biasa.

Pada sidang yang sama – perjalanan rentas daerah kini telah dibenarkan kecuali negeri Sabah sahaja. Sementara itu rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Untuk makluman daerah Nabawan, Sabah akan dikuat kuasakan pelaksanaan PKP bermula esok, 3 Mac sehingga 16 Mac. Penguatkuasaan tersebut adalah bertujuan mengekang penularan kes COVID-19 yang lebih besar dari berlaku.