Hari ini (1 Mac), genap setahun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memikul tanggungjawab menerajui Malaysia di kala pandemik COVID-19 berlaku.
Mengimbau cabaran lalu, PM Muhyiddin mengatakan tumpuan kerajaan adalah melindungi kesejahteraan rakyat serta membendung penularan pandemik yang lebih luas dan memastikan kelangsungan ekonomi dapat diteruskan.
Meskipun keadaan ekonomi negara memaparkan pemulihan dan pembaikan ketika ini – namun kesan penguncupan ekonomi sebelum ini telah meningkatkan kadar kemiskinan rakyat negara. Di mana, sebahagian T20 telah menjadi M40, dan sebahagian M40 telah menjadi B40. Manakala B40 pula terus mengalami kesan tertinggi pada kadar kemiskinan.
Perkara itu sedang diteliti pada Majlis Tindakan Ekonomi negara.
PM Muhyiddin mengakui – perkara ini sesuatu yang amat dikesali, tetapi pihaknya akan meneliti permasalahan ini menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemiskinan bersama semua pihak kerajaan, GLC, badan sukarela serta sektor swasta.
Difahamkan program pembasmian kemiskinan itu akan mengambilkira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208 yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan kumpulan bersasar.
Bagaimanapun, Malaysia masih optimis apabila kedudukan ekonomi negara kini diunjur kembali pulih pada 6.7% hingga 7% oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ini memberikan sentimen yang positif kepada pertumbuhan dan pelaburan negara dalam meningkatkan semula pembangunan ekonomi, khususnya peluang pekerjaan dan aliran kewangan Malaysia.
Untuk makluman, di bawah pemerintahan setahun Perikatan Nasional ini pelbagai bantuan kewangan telah dibentuk bagi membantu kelangsungan rakyat negara seperti PENJANA, PERMAI, PRIHATIN, JENDELA dan terbaharu MyDigital.