Artikel

Pengenaan Denda Dipertimbangkan, Terhadap Isu Giliran Suntikan Vaksin COVID-19

Sejak beberapa hari ini, terdapat isu berbangkit berhubung giliran kumpulan yang menerima suntikan vaksin COVID-19. Difahamkan wujudnya permohonan kumpulan tertentu untuk menerima suntikan vaksin dengan lebih awal, mendahului kumpulan yang lain.

Isu ini nyata mendapat pengamatan yang tegas dari Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin merangkap Menteri MOSTI mengatakan pada sidang MedTweetMY semalam – pertimbangan denda sedang diteliti untuk individu yang tidak mengikut giliran.

Kerajaan berkemungkinan akan menggubal undang-undang itu di bawah Ordinan Darurat. Berdasarkan laporan, perkara ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk makluman, setakat ini hanya Jawatankuasa Khas Jaminan akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang memutuskan senarai penerima suntikan vaksin.

Bagi mengatasi isu ini, Khairy mengatakan satu ciri saluran aduan akan diwujudkan pada portal www.vaksincovid.gov.my bagi membantu rakyat negara melakukan pelaporan secara terus kepada pihak autoriti berhubung isu berbangkit seperti ini.