RapidKL Prasarana kini mulai memperkenalkan sistem Skip-Stop-Xpress pada LRT laluan Kelana Jaya untuk mempercepatkan perjalanan tren para pengguna.
Pada pengenalan awal sistem ini, ia akan bermula pada jam 8.00 pagi dan hanya berhenti pada hentian tertentu sahaja. Menerusi perkongsian RapidKL pada ruangan Facebook rasmi mereka – ternyata laluan bermula dari Gombak, tren hanya akan berhenti di Wangsa Maju (jam 8.00 pagi) – Setiawangsa (jam 8.05 pagi) dan Ampang Park (jam 8.13 pagi).
Setelah hentian Ampang Park – tren akan berhenti seperti biasa di setiap hentian. Pengenalan awal sistem ini diperkatakan sedang dilakukan pada 3 hentian sahaja terlebih dahulu.
Pada jam berkenaan – hentian seperti Taman Melati, Sri Rampai, Jelatek, Dato’ Keramat dan Damai, perlu menanti hentian tren pada masa yang diumumkan di hentian tersebut. Perkara ini berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih lama.
Menurut RapidKl lagi, pengguna tidak perlu khuatir – sistem ini hanya berlaku dalam tempoh yang ditetapkan, selebihnya ia masih beroperasi seperti biasa bagi hentian seterusnya. Tindakan pengenalan sistem ini adalah bertujuan mengurangkan kesesakan di stesen tumpuan pada awal pagi sahaja.
Oleh itu, pengguna dinasihatkan untuk peka akan pengumuman di hentian masing-masing dan merancang masa perjalanan dengan baik.