Artikel

China Terus Kekal Menjadi Pelabur Asing Terbesar Di Malaysia

Hubungan ekonomi China-Malaysia adalah suatu perkara yang tidak asing lagi. Walaupun penularan pandemik telah merencatkan pembangunan pelaburan negara, tetapi China masih lagi tampil menjadi antara pelabur asing terbesar di Malaysia.

Menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) – China telah mengukuhkan kedudukannya pada pelaburan langsung asing (FDI) ke negara, terutama pada sektor pembuatan negara.

Untuk makluman, sejak tahun 2016 nilai pelaburan pada 172 projek membabitkan sektor pembuatan bersama China telah dianggarkan pada kitaran RM43.6 bilion.

Malah bagi operasi Januari sehingga September 2020 – negara bersama China telah memeterai 58 projek pembuatan yang melibatkan nilai RM16.77 bilion. Kerjasama ini sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan China pada pelaburan asing negara.

Tindakan ini telah berjaya mewujudkan lebih 40,000 peluang pekerjaan pada sektor pelaburan yang terlibat. Berdasarkan pengamatan itu, terdapat beberapa penerapan pelaburan lain yang kini turut ditinjau Malaysia.

Antaranya adalah penampilan selaku hab teknologi. Sasaran itu dilihat selari dengan penerapan digitalisasi yang telah diusahakan Malaysia sejak tahun 1990-an lagi.