Artikel

Malaysia Airlines Rancang Wujudkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital – Ingin Tingkatkan Semula Keyakinan Pengguna

Pelbagai persediaan perlu diteliti oleh setiap sektor bagi jangka masa panjang setelah COVID-19 berakhir, ia termasuklah memanfaatkan penerapan teknologi ketika ini. Itulah yang sedang dilakukan oleh Malaysia Airlines, di mana kini pihaknya sedang merancang Pas Kesihatan Perjalanan Digital untuk tempoh pasca-COVID-19 kelak.

Apa yang menarik, perancangan ini membabitkan modul di bawah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) – difahamkan para pengguna Malaysia Airlines akan memiliki pasport digital pada aplikasi yang mempunyai ciri kad kesihatan tersebut.

Berdasarkan gambaran awal yang dikongsikan – menerusi penerapan pas digital ini, para pengguna dapat melakukan temu janji bersama pihak perubatan untuk pemeriksaan kesihatan sebelum perjalanan. Ia meliputi ujian saringan RT-PCR dan akan diberi sijil vaksinasi menerusi aplikasi.

Menurut Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG) – perancangan ini dilihat mampu meningkatkan semula kepercayaan pelanggan untuk perjalanan udara. Perancangan ini secara tidak langsung dapat memberi sentimen yang positif pada pertumbuhan negara tidak lama lagi.

Setakat ini, proses perancangan masih diperingkat awal dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.