Hari ini (24 Februari) negara telah menyaksikan suntikan pertama vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech telah diterima oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dato’ Sri Noor Hisham dan beberapa petugas barisan hadapan yang lain.
Pada siaran langsung tersebut – telah menampilkan beberapa kaedah yang perlu dilalui oleh setiap individu sebelum menerima suntikan vaksin iaitu merangkumi:
- Pengesahan pengenalan diri
- Pengisian borang persetujuan suntikan
- Proses suntikan vaksin akan dilakukan
- Memasuki Bilik Pemantauan selama 15 minit – 30 minit
- Menerima Kad Vaksinasi COVID-19
- Pemantauan selama 2 minggu sehingga suntikan dos kedua dapat dilakukan
Pada majlis suntikan tersebut, PM Muhyiddin menyeru semua pihak meliputi rakyat negara berserta warganegara asing yang kini berada di Malaysia untuk menyokong penuh usaha vaksinasi COVID-19. Ini kerana, tindakan individu yang wajib melaksanakan suntikan dapat melindungi kumpulan yang tidak berisiko daripada penularan virus yang lebih besar.
Malah, PM Muhyiddin turut menyatakan kerjasama semua pihak dan agihan dos suntikan vaksin secara percuma ini perlu dimanfaatkan sebaiknya. Tindakan itu tidak hanya membebaskan negara dari pandemik tetapi turut membantu meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi semua pihak.