Artikel

Kadar Pengangguran 2021 Disasarkan Menurun Kepada 3.5% Hingga 4.0% – Laporan

Antara permasalahan negara adalah untuk mengekang peningkatan kadar pengangguran yang berlaku – disebabkan impak pandemik COVID-19. Tetapi, menyoroti inisiatif kerajaan dalam membantu memulihkan perkara itu – kadar pengangguran negara kini dijangka menurun sehingga 4.0%.

Sasaran penurunan laporan Public Investment Bank itu meliputi usaha di bawah Belanjawan 2021.

Sekiranya pengurangan pengangguran dapat dilakukan – ia membawa petanda peningkatan tenaga kerja di Malaysia akan lebih tinggi, dan membawa kepada peluang pekerjaan yang lebih meluas. Menerusi kerjasama sektor awam dan swasta – penawaran 160,000 peluang pekerjaan kemahiran akan diwujudkan pada tahun ini.

Sementara itu inisiatif lain adalah penerapan 500,000 peluang pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 juga mampu meningkatkan lagi unjuran pengurangan kadar pengangguran negara.

Pelaksanaan kesemua inisiatif itu dilihat penting untuk meningkatkan semula pembangunan pekerjaan negara. Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sehingga Disember 2020 – kadar pengangguran negara mencatatkan 4.8% iaitu lebih 700,000 rakyat negara adalah penganggur.