Artikel

Isu Sisa Plastik Dunia Tidak Menguntungkan Malaysia, Sekadar Tingkatkan Risiko

Isu pembuangan sampah plastik ini bukanlah suatu isu yang baharu untuk Malaysia – ia telah mulai memenuhi ruang negara sejak 2018 lagi dan kini angka pembuangan terus meningkat.

Berdasarkan laporan FMT, menerusi tinjauan Greenpeace – UK kini telah mengeksport 63% sampah plastik ke Malaysia pada 2020, ia telah meningkat jumlah sisa negara kepada 65,316 tan.

Untuk makluman fungsi penghantaran sisa atau sampah plastik ini adalah bertujuan melalui proses kitar semula. Tetapi berdasarkan dapatan hanya 9% sisa plastik sahaja dapat dikitar semula. Sementara itu, 12% pula dibakar dan 79% pula berakhir di tempat pembuangan sampah.

Selain itu, faktor lain yang turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dunia adalah disebabkan larangan China ke atas import sisa plastik pada 2018.

Tindakan ini dilihat membebankan ekosistem persekitaran negara – terdedah dengan pencemaran laut, kesan sampingan pencemaran udara dorong kewujudan penyakit kronik kepada individu.

Malaysia bagaimanapun menerusi Jabatan Alam Sekitar telah menghantar semula 254 kontena sisa seberat 5,512 tan kepada negara terlibat pada tahun lalu. Namun pengawalan ke atas isu perlu diatasi segera.


Negara maju seharusnya menghentikan penghantaran sedemikian termasuklah penyeludupan secara haram sisa plastik kepada Malaysia. Menjadikan negara sedang membangun sebagai tapak pelupusan sampah adalah sesuatu perkara yang kurang bijak.

Oleh itu, penguatkuasaan Malaysia perlu diperketatkan – khususnya penyediaan prosedur operasi yang lebih tegas perlu dilaksanakan segera, ia meliputi pengawalan permit import sisa pembuangan dari luar negara.

Jika tidak diatasi segera – Malaysia akan terus menjadi destinasi pilihan sebagai tapak pembuangan sisa plastik dunia, dan perkara itu tidak baik untuk ekosistem dan pertumbuhan negara.