Artikel

Wanita Turut Memiliki Kemahiran, Namun Ia Tidak Dijadikan Keutamaan Pada Pasaran Buruh Negara

Sejak tahun 1974 lagi kadar upah tenaga kerja wanita (36%) dan lelaki (76%) memiliki jurang yang tinggi, meskipun berada pada kedudukan kerjaya dan kemahiran yang sama. Perkara tersebut dapat diperlihatkan pada Indeks Jurang Gender (MGGI) negara sehingga kini.

Tahun lalu, peluang dan penyertaan wanita dalam segmen ekonomi negara berada pada paras 55.6% sahaja berbanding lelaki 80.8%, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Penulis memahami pasti ada segelintir pihak akan mempertikaikan jurang tersebut berdasarkan faktor produktiviti dan tenaga fizikal. Namun tahukah pembaca, penglibatan wanita di dalam Sektor Profesional dan Teknikal hanyalah sekitar 44.4% berbanding lelaki 55.6%. Peningkatan penglibatan wanita pada bahagian tersebut hanya meningkat 0.01% sejak 2017 yang mencatatkan 44.3%.

Sementara itu penglibatan wanita bahagian Pengurusan, Pengubal Undang-Undang Pegawai Kanan adalah 23.3% – angka ini menurun berbanding 2017 sekitar 24.7%. Apatah lagi kedudukan wanita dalam penguasaan politik di Parlimen, di mana 14.9% wanita menguasai kerusi di sidang dan 17.9% pula jawatan Menteri, tidak menunjukan peningkatan ketara.

Untuk makluman DOSM turut menyatakan sekiranya purata tenaga kerja lelaki menerima upah dan gaji sebanyak RM100, wanita pula menerima RM94.07 sahaja. Perbezaan ini secara jelas membawa pemahaman mengapa Anggaran Pendapatan Diperoleh wanita hanya RM37,296 berbanding lelaki RM39, 648.

Data-data itu hanya merangkumi sektor awam, bagaimana pula dengan sektor swasta?

Penulis terdetik kupasan pembabitan wanita ini setelah mengikuti meja bulat aplikasi Clubhouse yang membincangkan kedudukan wanita di mata masyarakat – merangkumi budaya, pendidikan, kerjaya serta stigma awam.

Apa yang menarik perhatian adalah faktor – jika institusi pentadbiran negara sendiri tidak membuka peluang produktiviti tersebut kepada wanita, penulis yakin margin MGGI sudah pasti mampu mencapai purata 1.0 mata (100%) dan tidak pada 0.709 mata pada ketika ini untuk peringkat Forum Ekonomi Global (WEF).

Selain itu, kedudukan wanita pada sektor swasta bahagian Lembaga Pengarah Syarikat juga turut memaparkan jurang yang berbeza, wanita (27%) dan lelaki (73%). Apakah perdebatan melalui tenaga fizikal turut digunakan pada perbezaan ini? Jelas sekali tidak.

Pemaparan data ini tidak membawa makna negara perlukan kesamarataan secara drastik untuk lelaki dan wanita. Namun pertimbangan peluang penyertaan ekonomi wanita perlu dipertingkatkan mengikut kemahiran semasa.


Sekiranya stigma produktiviti masih menghantui pembangunan ekonomi negara – ia tidak akan membantu pertumbuhan malah sekadar menidakkan usaha wanita untuk turut serta membantu aliran ekonomi negara.