Sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini telah mengumumkan pembukaan aktiviti memancing bagi perikanan rekreasi dan Institut Latihan Memandu, mulai esok.
Kebenaran untuk aktiviti memancing adalah merangkumi operasi kolam pancing, pelantar pancing dan rumah rakit. Pihak beroperasi perlulah berdaftar bersama pihak PBT dan Jabatan Perikanan Malaysia. Tindakan ini bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilakukan dengan baik.
Manakala kebenaran bagi Institut Latihan Memandu pula perlu mematuhi SOP dengan mengetahui keberadaan pelajar dan tenaga pengajar, serta menjaga penjarakan fizikal. Selain itu, pemakaian pelitup muka ketika pembelajaran adalah diwajibkan.
Masa operasi yang ditetapkan adalah seperti berikut:
- Aktiviti Memancing – 8 pagi sehingga 10 malam
- Institut Latihan Memandu – 7.30 pagi sehingga 8.30 malam
Kebenaran ini dilakukan berasaskan penilaian risiko MKN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak kementerian yang terlibat.
Kelonggaran ini diberikan untuk memenuhi tuntutan ekonomi negara dan mengurangkan bebanan pendapatan rakyat yang terjejas disebabkan penangguhan sementara operasi. Diharapkan semua premis mematuhi SOP yang telah digariskan.