Artikel

Prestasi KDNK 2020 Adalah Penyusutan Kedua Terbesar Selepas Tahun 1998

Hari ini, negara dapat memperlihatkan penyusutan ke atas Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 3.4% pada Suku Tahun Keempat 2020.

Kemerosotan ini ternyata menjadikan keseluruhan prestasi KDNK negara pada 2020 adalah -5.6%, berbanding tahun 2019 mencatatkan 4.3%. Angka ini secara tidak langsung menjadikan KDNK 2020 adalah penyusutan kedua yang terbesar setelah tahun 1998, yang mencatatkan KDNK keseluruhan ketika itu -7.4%.

Antara sentimen yang mendorong catatan angka sedemikian adalah disebabkan prestasi sektor ekonomi merundum dari aspek penawaran dan permintaan – ketika penularan pandemik COVID-19.

Faktor pengaruh luar turut menjadikan prestasi pertumbuhan negara menjadi negatif bagi setiap 3 suku tahunan 2020 berturut-turut.

Meskipun begitu, momentum penyusutan KDNK negara dilihat semakin perlahan pada bulan November dan Disember tahun lalu. Malah, terdapat pertumbuhan positif pada beberapa sektor seperti Pembuatan.

Namun sektor Perkhidmatan pula dikira menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan 4.9% pada suku tahun ini. Ia meliputi perkhidmatan pengangkutan, pelancongan, makanan dan penginapan .Ini susulan penurunan ketara pada perintah kawalan dan sekatan – dilihat merencatkan perjalanan pengguna domestik serta antarabangsa.

Selain itu, sektor Pembinaan dan Pertanian turut memaparkan kemerosotan yang sama berbanding suku tahun sebelumnya.