Artikel

Kadar Pengangguran Kumpulan B40 Semakin Meningkat – Laporan

Penutupan dan penangguhan sementara operasi perniagaan, perkhidmatan tertentu secara jelasnya mendorong kepada peningkatan kadar pengangguran negara – khususnya kepada kelas berpendapatan rendah, B40. Perkara ini tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja, bahkan di seluruh dunia.

Kenyataan ini telah diperakui oleh laporan Families on The Edge, merangkumi kedudukan tahap pendapatan dan kesejahteraan 500 buah keluarga di kediaman kos rendah Kuala Lumpur.

Berdasarkan tinjauan bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Disember 2020 lalu – sokongan kewangan dan perlindungan sosial perlu dipertingkatkan kepada kelas berpendapatan rendah.

Ini kerana sekatan ekonomi telah meningkatkan kadar kemerosotan perolehan individu.

Selain itu, kadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah juga turut dicatatkan telah meningkat dua kali ganda kepada 15% berbanding September 2020 sekitar 7%.

Terbaharu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaparkan kadar pengangguran negara bagi Disember 2020 mencatatkan paras kadar 4.8% iaitu sekitar 772,900 individu telah menganggur. Ia bermakna angka pengangguran telah meningkat berbanding November 2020 – sekitar 764,400 individu.


Krisis pandemik COVID19 ini secara jelas menuntut perbelanjaan yang tinggi bagi setiap kerajaan negara. Tindakan itu berikutan penangguhan beberapa sektor ekonomi, kos tanggungan kesihatan telah merencatkan pertumbuhan negara. Penyaluran dana yang lebih besar dan bersifat jangka masa panjang perlu dipertimbangkan kerajaan negara.

Langkah ini bagi memastikan hak kumpulan rentan sentiasa di bawah jaminan negara. Malah menerusi pelan jangka masa panjang juga, pembangunan peluang pekerjaan negara dapat dilaksanakan segera.