Industri pelancongan sememangnya antara sektor yang menanggung kerugian tinggi ketika era pandemik COVID-19 ini berlaku. Ramai pihak yang terkesan, khususnya meliputi ekonomi berangkaian seperti pengangkutan, perkhidmatan jualan, dan tempat penginapan.
Perkara ini dibuktikan menerusi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di mana permintaan trafik penumpang bagi syarikat penerbangan untuk perjalanan antrabangsa telah menurun 75.6%, sementara itu domestik pula menurun 48.8%.
Penurunan itu jelas menyaksikan industri seperti penerbangan negara tahun 2020 telah mencatatkan perolehan yang terburuk buat Malaysia, bahkan untuk seluruh sektor pelancongan.
Melihat situasi ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Luar Negeri untuk mencari peluang mewujudkan pengaturan ;gelembung perjalanan’ dengan negara-negara jiran di kala COVID-19 ini.
Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri MOTAC mengatakan perancangan tersebut meliputi negara seperti Brunei, Singapura dan Thailand, serta negara-negara ASEAN lain dan negara-negara Asia Pasifik seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Ini kerana negara terbabit telah tersenarai sebagai destinasi yang selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Malah negara juga turut mengusulkan cadangan berhubung penyeragaman Prosedur Operasi Standard (SOP) pada Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNWTO) untuk memastikan agenda merentas sempadan oleh negara-negara terlibat adalah selamat.
Bagaimanapun, tindakan itu perlu mengambilkira beberapa faktor seperti pemantauan berhubung tahap kesihatan, data kemasukan antara dua negara.