Artikel

Pembubaran Parlimen Akan Dilakukan Setelah Pandemik COVID-19 Reda

Pada sidang perutusan khas hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berkongsikan beberapa matlamat dan strategi kerajaan menerusi Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021.

Antara perkara yang telah disentuh adalah pengambilalihan kerajaan menerusi kaedah penyumberluaran terhadap beberapa institusi untuk menambah sokongan kapasiti kepada sistem kesihatan negara. Dimaklumkan pemberian pampasan akan disalurkan dan peralihan tersebut ianya hanya bersifat sementara sahaja.

Antara yang terlibat adalah penempatan PLKN, Kem Wawasan, penerapan kuasa Tentera serta penglibatan RELA.

Malah, kerajaan juga turut memperluaskan konsep Hospital Kluster dengan kerjasama tenaga kerja kesihatan swasta. Ini merangkumi kerjasama 31 hospital swasta pada kepakaran tambahan.

Tindakan itu juga dilihat turut mempertingkatkan kapasiti ujian saringan negara dengan menyediakan 68 makmal awam dan swasta kepada seluruh rakyat negara.

Pada masa yang sama, PM Muhyiddin turut mengumumkan pembubaran Parlimen hanya akan dilakukan setelah situasi pandemik COVID-19 negara kembali reda. Maka segala pandangan rakyat berhubung peranan negara dapat dilakukan menerusi pelaksanaan Pilihan Raya Umum kelak.