Artikel

Penerapan SOP Yang Lebih Ketat, Mampu Bantu Semua Sektor Perniagaan Beroperasi Semula – MEF

Meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 18 Februari ini, terdapat usul mengetengahkan bahawa pembukaan semula semua sektor perniagaan harus diberikan.

Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melihat cadangan itu merangkumi piawaian prosedur operasi (SOP) yang lebih ketat perlu dikuat kuasakan, bagi memastikan kelangsungan operasi tidak terjejas disebabkan penularan COVID-19.

Menurut Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman – langkah ini bertujuan memberi jaminan tentang kelestarian permis perniagaan, khusus perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Malah, tindakan ini berupaya memulihkan semula pertumbuhan ekonomi negara dalam kadar segera. Ia akan memberi kelegaan kepada semua pihak berhubung pendapatan mereka.

MEF melihat cadangan ini wajar dilaksanakan. Tindakan tegas dari pihak majikan amat disarankan untuk memastikan langkah ini dapat dilakukan. Pematuhan SOP serta penyediaan peralatan pelindungan diri jika perlu, harus dilakukan kepada para pekerja.


Semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam mengatasi penularan pandemik ini, jika hanya bersandar pada bantuan kerajaan dan tenaga kerja petugas barisan hadapan – ia tidak akan memulihkan semula pertumbuhan ekonomi Malaysia.