Artikel

Individu Perlu Selesaikan Bayaran Kompaun PKP Dalam Masa 2 Minggu

Sejak April 2020, tindakan pengenaan kompaun denda berjumlah RM1,000 telah dikuat kuasakan bagi individu yang ingkar akan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi ciapan rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), nilai kompaun tersebut perlu dilangsaikan dalam tempoh 2 minggu setelah ia dikenakan. Sekiranya individu yang terlibat gagal berbuat demikian, mereka boleh didakwa di mahkamah.

Peringatan ini diberikan, supaya semua pihak sedia maklum akan tindakan tegas yang terpaksa dihadapi jika gagal mematuhi arahan PKP.

Namun begitu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar denda kompaun tersebut. Ini kerana terdapat pihak yang beranggapan nilai itu adalah kecil.

Makluman bagi kenaikan tersebut akan di maklumkan tidak lama lagi, buat masa ini penelitian masih dilakukan bersama pihak autoriti.