Situasi semasa dilihat memberi kesukaran kepada semua pihak, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara. Berdasarkan situasi ini, kerajaan negeri Sarawak kini mengumumkan peruntukan tambahan di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 5.0) sekitar RM141.7 juta kepada komuniti PKS mereka.
Sebelum ini, Sarawak telah mengumumkan pakej bantuan BKSS 5.0 dengan jumlah RM405 juta kepada seluruh penduduk negeri. Menerusi dana tambahan tersebut, kerajaan negeri menjangkakan ia mampu memberi maafaat kepada lebih 10,000 usahawan Sarawak.
Sebelum ini, Sarawak telah mengumumkan pakej bantuan BKSS 5.0 dengan jumlah RM405 juta kepada seluruh penduduk negeri.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan – tambahan dana RM50 juta turut dilakukan pada Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), di mana premis perniagaan dapat melakukan pinjaman menerusi inisiatif itu.
Malah, inisiatif itu turut menawarkan moratorium selama 6 bulan dan perolehan subsidi kadar faedah dalam tempoh tiga setengah tahun bagi mereka yang telah diluluskan pinjaman sejak 30 Jun 2020 lalu.
Sementara itu, tambahan RM20 juta pula akan disalurkan ke Skim Pinjaman PKS (SPIKS) dan RM22.2 juta untuk subsidi faedah di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan yang Disasarkan (TRRF). Manakala RM20 juta lagi akan disediakan untuk Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Graduan Menuju Program Keusahawanan (GERAK).
Tindakan ini dilihat baik dalam meringankan bebanan komuniti para peniaga dan pekerja. Bagaimanapun ternyata pemerhatian pakar ekonomi benar berhubung situasi negara. Di mana perbelanjaan kerajaan akan sentiasa meningkat untuk menampung risiko sekatan yang dilakukan.
Meskipun Sarawak tidak terlibat dalam lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari ini, namun kerajaan negeri sedar akan risiko kerugian yang dialami oleh mereka untuk menampung 2.6 juta penduduk negeri.
Diharapkan menerusi tambahan dana ini, aliran dan bebanan tanggungan operasi perniagaan dapat membantu pemain industri untuk kekal utuh dalam momentum ekonomi negara.