Artikel

AirAsia Fresh Sasar Perluaskan Khidmat Penghantaran Barangan Runcit – Pada Pasaran Serantau

Semua pihak sedia maklum, AirAsia Group kini sedang menumpukan kepelbagaian pada penawaran perkhidmatan mereka. Sememangnya permintaan barangan runcit ketika ini semakin meningkat. Penerapan bekerja dari rumah (WFH) telah mengekang pergerakan ramai pihak untuk memenuhi keperluan harian mereka. Melihat peluang ini, AirAsia menyasarkan perluasan perkhidmatan penghantaran barangan runcit – AirAsia Fresh pada pasaran serantau.

Antara destinasi yang disasarkan adalah Pulau Pinang, serta pasaran ASEAN seperti Jakarta dan Bangkok.

Pada paltform tersebut AirAsia telah tampil dengan penawaran Fresh Pack – di mana harga pek barangan edisi khas tersebut telah ditetapkan dan penghantaran percuma kepada pelanggan akan diberikan.

Selain itu, penawaran sehingga 50% untuk setiap pembelian kedua sempena perayaan Tahun Baru Cina juga turut ditawarkan mulai 2 Februari hingga 28 Februari ini.

Menurut Maybel Chan, Ketua AirAsia Fresh menyatakan perluasan perniagaan ini akan memberi manfaat kepada seluruh ekosistem rangkaian barang keperluan, ia akan menghubungkan dua pihak secara terus iaitu petani kepada peniaga dan pelanggan.

Tindakan meningkatkan penglibatan AirAsia pada pelbagai ekosistem ekonomi ini dilihat suatu langkah yang baik. Ini kerana ia bukan sekadar membantu kumpulan meningkatkan pendapatan mereka, namun turut memberi kesan yang baik kepada aliran pertumbuhan negara dan pembangunan ekonomi serantau.