Artikel

KK Super Mart – Rangkaian Kedai Serbaneka Pertama, Memilih ShopeePay Untuk Tawaran Pembayaran Nirtunai

KK Super Mart kini telah melengkapkan kaedah pembayaran mereka dengan menggunakan ShopeePay, secara nirtunai (tanpa tunai). Melalui kerjasama ini, ia secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai rangkaian kedai serbaneka pertama yang menggunakan penyelesaian tersebut pada 512 cawangan di seluruh negara.

Seiring dengan perubahan teknologi semasa, pihak KK Super Mart telahpun mula terlibat dalam penerapan secara nirtunai ini sejak 2017 lagi. Pihaknya berpendapat kaedah nirtunai ini dilihat lebih selamat dan memudahkan para pelanggan.

Maka pilihan Shopee selaku platform utama yang mengetengahkan pembayaran secara nirtunai ini dilihat selari dengan pilihan pengguna semasa, bahkan pelanggan tidak hanya boleh membayar barangan pembelian tetapi turut dapat melunaskan pembayaran bil menerusi ShopeePay.

Melalui kerjasama ini, pelanggan KK Super Mart berpeluang menerima pulangan tunai sebanyak RM3 dengan perbelanjaan minimum RM15 apabila mereka membayar menggunakan ShopeePay. Setiap pulangan hanya terhad kepada satu transaksi untuk sehari sahaja.

Sementara itu, sempena Jualan Tahun Baru Cina – pelanggan turut berpeluang menerima pulangan tunai sebanyak RM4 dengan perbelanjaan minimum RM10. Setiap pengguna dapat menerima maksimum tiga pulangan tunai sepanjang tempoh kempen yang berakhir pada 25 Mac 2021.

Penerapan ShopeePay pada pilihan pembayaran nirtunai KK Super Mart telah meningkatkan lagi kepercayaan pengguna kepada rangkaian mereka. Menerusi perkembangan semasa, KK Super Mart menyasarkan pembukaan secara agresif hingga cawangan ke 600 dapat dilakukan menjelang akhir 2021 ini.