Artikel

Top Glove Labur RM195 Juta – Bagi Penyediaan Kediaman Pekerja

Berikutan keadaan semasa yang mendorong para pekerja terkesan disebabkan penularan COVID-19, Top Glove kini akan meningkatkan kualiti kebajikan para pekerja mereka dengan memperuntukan sekitar RM195 juta pelaburan pada penyediaan kediaman yang baik untuk semua pekerja.

Peruntukan tersebut meliputi pelan pembangunan infrastruktur selama 3 tahun, sehingga 2023 kelak.

Langkah ini baik bagi memastikan kebajikan para pekerja terus dijamin dan diberi kemudahan yang memadai, seiring tugasan mereka. Berdasarkan pelan tersebut, sekitar 21,000 pekerja Top Glove di 47 operasi kilang akan menikmati manfaat dan kepentingan keselamatan.

Setakat ini, sekitar RM70 juta telah dilakukan bagi pembinaan lebih 100 unit kediaman dua tingkat serta asrama. Pelbagai fasiliti kemudahan turut disediakan pada kawasan terbabit, seperti mesin ATM, dobi, kedai runcit dan banyak lagi.

Antara perancangan lain – Top Glove akan membina 4 blok kediaman di Klang Selangor, membeli 2 blok kondominium di Klang dan membina 3 blok kediaman di Banting.

Manakala perancangan pembangunan penginapan yang sama turut akan dilaksanakan di beberapa buah negeri lain seperti Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Perak dan Johor – ia meliputi pelaburan pada kitaran RM30 juta.

Tindakan ini dilihat suatu perkara yang wajar, untuk menangani isu penularan pandemik yang berlaku disebabkan faktor kesesakan kediaman para pekerja. Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia telah memberi amaran kepada mana-mana syarikat yang gagal mematuhi Akta 446 -Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 akan dikenakan tindakan.

Sekiranya gagal mematuhi kehendak tersebut, majikan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap pekerja.