Artikel

Panasonic Rancang Menghentikan Pengeluaran Bateri, Panel Solar Di Malaysia Dan Jepun – Mulai Mac 2022

Krisis pandemik dan isu global telah meningkatkan persaingan antara syarikat pengeluaran. Kini, Panasonic merancang menghentikan pengeluaran bateri serta panel solar mereka di Malaysia dan Shimane Prefecture, Jepun.

Tindakan itu dilaporkan akan dilakukan seawal bulan Mac 2022 kelak. Menurut laporan Nikkei Asia – Panasonic mengalami persaingan tinggi dengan syarikat pengeluar China, yang menawarkan harga produk jauh lebih rendah.

Menurut Badan Tenaga Antarabangsa, jumlah penjanaan tenaga suria baru tahun ini dijangka mencapai 117 juta kilowatt, meningkat 10% dari tahun sebelumnya. Susulan peningkatan pengeluaran dari China, harga panel solar telah jatuh sekitar satu pertiga dari harga tahun 2012. Perkara itu menjadikan pasaran tersebut tidak menguntungkan Panasonic.

Perancangan itu secara tidak langsung menandakan keputusan penuh Panasonic untuk keluar dari perniagaan pengeluaran solar adalah mutlak. Malah ia turut dibuktikan apabila sebelum ini, pihaknya telah menamatkan kerjasama penghasilan sel solar dengan Tesla pada 2020.

Setakat ini, difahamkan jumlah pekerja yang berkhidmat di bawah Panasonic masih lagi dikekalkan – pihaknya akan mendapatkan panel solar daripada pengeluar lain bagi meneruskan kelangsungan perniagaan seperti pemasangan sistem penjanaan bagi kegunaan kediaman.

Meskipun, Panasonic akan menghentikan pengeluaran bateri, panel solar – namun ia akan mula beralih kepada pengeluaran tenaga boleh diperbaharui pada bahagian sistem pengurusan kuasa bagi bandar pintar, dikenali pengeluaran tenaga perapi.