Isu penularan COVID-19 ini harus dipandang serius oleh semua pihak, khususnya kepada pemain industri dan majikan. Tindakan mengabaikan kebajikan pekerja atau tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan – boleh mendorong keadaan penularan yang lebih serius.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menegaskan sekiranya terdapat majikan yang ingkar akan pematuhan berkaitan berundangan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka boleh dikenakan denda.
Notis penambahbaikan dan surat arahan akan diberikan sebagai peringatan kepada yang terlibat. Sekiranya didapati bersalah, majikan boleh dikenakan denda sekitar RM50,000 atau di penjarakan tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.
Setakat ini, 90% pengusaha industri perkilangan dan pembuatan didapati mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Sementara itu, semalam MKN memaklumkan sebanyak 9 kilang dan 16 premis perniagaan telah diarahkan tutup oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berikutan pihak tersebut tidak tersenarai pada Sektor Perkhidmatan Perlu.
Para majikan dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan operasi yang ditetapkan, dan bagi pihak memiliki pekerja asing – haruslah memastikan ujian saringan COVID-19 dilakukan.