Artikel

Larangan AS Tidak Gugat Prestasi TikTok – Perolehan ByteDance Kini Meningkat 2X Ganda

Walaupun aplikasi TikTok berdepan dengan pelbagai kesukaran seperti krisis politik dan persaingan sengit antara pembangun lain – ia tetap berjaya meningkatkan keuntungan mereka.

Aplikasi negara China milik ByteDance itu ternyata kekal utuh meningkatkan perolehan pendapatan mereka. ByteDance melaporkan pendapatan mereka meningkat dua kali ganda – sekitar AS$35 bilion pada 2020, ini meliputi peningkatan keuntungan operasi pada kadar AS$7 bilion berbanding tahun 2019 sekadar AS$4 bilion sahaja.

Untuk makluman, ByteDance diasaskan oleh Zhang Yimin telah menjadikan aplikasi TikTok sebagai salah satu aplikasi paling popular dalam kalangan pengguna global. Malah, Zhang Yimin turut berpendapat pertumbuhan aplikasi itu memiliki potensi yang lebih tinggi berbanding Douyin, aplikasi yang digunakan di China.

Dianggar lebih 100 juta pengguna TikTok di Amerika Syarikat (AS) telah dicatatkan ketika ini.

Bagaimanapun, semua pihak masih menanti tindakan lanjut dari Joe Biden, Presiden AS baharu itu berhubung larangan penggunaan TikTok dalam kalangan masyarakat mereka. Seperti yang kita ketahui, Donald Trump mantan Presiden AS sebelum ini telah melarang penglibatan TikTok di AS, dikatakan memberi ancaman keselamatan kepada data peribadi masyarakat AS.