Sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini menjelaskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak akan selamanya dilakukan. Apatah lagi penguatkuasaan penutupan penuh ekonomi seperti yang diperkatakan.
Ini kerana terdapat beberapa kesan terhadap ekonomi yang mungkin berlaku jika penutupan ekonomi secara penuh dilakukan. Antaranya adalah dianggarkan sekitar 2.8 juta rakyat berisiko kehilangan pekerjaan, manakala 2.5 juta pekerja pula pendapatan akan terjejas dan sukar meneruskan kelangsungan hidup.
Sementara itu, jangkaan lain kumpulan B40 akan kehilangan pendapatan dalam tempoh sebulan, dianggarkan dalam RM6.45 bilion dengan purata RM2,400 (bagi satu keluarga).
Oleh itu, Dato’ Sri Ismail Sabri telah memberi gambaran bahawa tindakan penutupan ekonomi penuh tidak akan dilakukan.
Manakala bagi pelaksanaan lanjutan PKP pula akan dimaklumkan semula. Meskipun angka penularan masih lagi memaparkan peningkatan – namun penilaian risiko akan dilakukan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MITI dan MKN bagi memperolehi persetujuan bersama berhubung tindakan semasa.