Seperti yang umum ketahui, penguatkuasaan Undi 18 tahun akan dilaksanakan selewatnya pada Julai 2021 ini.
Seharusnya persepsi berhubung kemampuan dan kematangan kumpulan ini tidak lagi dipertikaikan. Menurut Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Penganalisis Politik negara – sikap bersangka dan streotaip ke atas kumpulan ini perlu dihentikan segera.
Perkongsiannya pada Bicara Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu jelas menyatakan negara perlu bersedia memberi kebebasan dan tanggungjawab justifikasi pentadbiran negara kepada golongan berusia 18 tahun. Pengiktirafan itu dapat membenarkan golongan ini lebih memahami berkenaan sistem politik dan dinamik ekonomi negara.
Pendapat dan cadangan mereka pada ketika ini amat diperlukan. Ini kerana penerapan digitalisasi dan teknologi dilihat mampu menjadi kelebihan buat kumpulan ini. Ia kerana golongan ini dilihat lebih memahami aliran permintaan semasa berkaitan ekonomi dan mampu mengubah haluan tersebut di masa hadapan.
Maka sekiranya tanggungjawab seperti kebenaran berkahwin, memiliki lesen memandu, membina perniagaan dan terlibat selaku anggota penguatkuasaan di awal usia 18 tahun dibenarkan, mengapa tidak tanggungjawab mengundi turut diberikan?
Malaysia harus bersedia dengan situasi itu.
Melalui penglibatan golongan 18 tahun pada pengurusan pentadbiran negara ia mampu meningkatkan literasi ekonomi dari sudut pembangunan. Berdasarkan perkongsian, setiap tahun sekitar 500,000 individu akan menganjak ke usia 18 tahun, dan perkara itu tidak harus di sia-siakan oleh negara bagi mengetahui permasalahan dari sudut pandangan mereka.
Apabila pertikaian berhubung kreadibiliti kumpulan 18 tahun ini dapat ditepis, ia secara tidak langsung meningkatkan keyakinan semua pihak untuk membantu pertumbuhan negara menjadi lebih baik.
Dr. Siva turut mengatakan sekiranya Pilihan Raya Umum dilaksanakan secara maya, kuasa mengundi akan lebih memihak kepada golongan muda. Oleh itu, penerimaan semua pihak amat penting dalam memastikan penguatkuasaan Undi 18 ini dijalankan dengan baik.
Adanya penerimaan semua pihak, penulis pasti Undi 18 mampu memaparkan lebih banyak pandangan kritikal dan mendalam berhubung pentadbiran negara. Malah, adanya pelaksanaan ini menunjukkan Malaysia meraikan kepelbagaian persepektif dan ideologi semua pihak. Tanpa mengira umur muda atau tua. Sikap saling melengkapi ini baik untuk pembangunan ekonomi negara untuk terus maju mencapai taraf masyarakat berfikiran kelas pertama.
Untuk makluman selain Malaysia, pelaksanaan undi 18 ini turut telah dilaksanakan di kebanyakkan negara, seperti New Zealand, Denmark, England, Jerman, Jepun, dan Korea Selatan.