Ini realiti yang perlu disedari oleh kerajaan negara. Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak memiliki simpanan kecemasan yang mencukupi. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut – antaranya kerana kejutan ekonomi dan pandemik, tanggungan isi rumah, kos sara hidup tinggi, serta perolehan tahap pendapatan.
Jabatan Perangkaan (DOSM) mengatakan sekitar 400,000 isi rumah pada data 10 Julai 2020 adalah diklasifikasikan sebagai hidup dalam kemiskinan mutlak iaitu purata pendapatan sekitar RM2,208. Manakala hampir 17% iaitu 1.2 juta isi rumah pula tergolong dalam kemiskinan relatif iaitu pendapatan kurang daripada angka gaji penengah untuk keseluruhan isi rumah Malaysia RM5,873, di mana tidak mencecah RM3,000 sebulan.
Perolehan yang sedikit memberi kesan kepada simpanan mereka. Laporan artikel Khazanah Research Institute turut menyatakan ‘Bottom 10%‘ – golongan berpendapatan bawah 10% secara puratanya mempunyai lebihan pendapatan hanyalah RM200 sebulan sahaja.
Itu tidak termasuk dengan penolakan pindahan wajib pada caruman KWSP dan PERKESO.
Malah data KWSP turut menyatakan 32% daripada pencarum hanya memiliki kurang daripada RM5,000 sahaja di dalam Akaun 1 mereka. Sementara itu, lebih daripada separuh pencarum KWSP juga yang berbaki satu tahun daripada umur persaraan 55 tahun, memiliki simpanan bawah RM50,000.
Realiti itu telahpun wujud sebelum pandemik COVID-19 ini berlaku.
Apabila rakyat negara menyatakan kekesalan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kerana kebimbangan mereka berhubung pendapatan semasa dan kos tanggungan yang perlu dititikberatkan. Golongan ini terpaksa meminjam, bahkan tiada jaminan untuk simpanan hari tua disebabkan kelangsungan hidup.
Penulis melihat pengenalan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sebanyak RM15 Bilion kepada rakyat Malaysia adalah suatu tindakan yang baik. 22 inisiatif diperkenalkan. Namun peruntukan itu rata-ratanya bersifat jangka masa pendek iaitu selama 3 bulan tempoh tangguhan untuk beberapa inisiatif dan kebanyakkan telah diumumkan sebelum PERMAI dimaklumkan.
Seharusnya negara perlu melaksanakan jaminan bantuan sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan, membabitkan moratorium, pengecualian cukai, pengeluaran i-SINAR secara menyeluruh, serta senarai industri yang wajar beroperasi. Penjelasan yang konkrit dapat membantu rakyat negara tenang, dan memberi kerjasama yang baik.
Tindakan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kerugian negara, bahkan mengurangkan penularan COVID-19.
Negara sebelum ini telah mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari ketika PKP Mac 2020 dilaksanakan, dan ketika ini PKP 2.0 dilaksanakan – sekitar RM600 juta sehari kerugian harus ditanggung oleh negara.