Artikel

PKP Dijangka Hanya Selama 4 Minggu Sahaja – DG Hisham

Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai spekulasi mengatakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terus dilanjutkan pada suatu tempoh yang lebih lama.

Namun berbeza dengan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini (25 Januari), di mana pihaknya menjangkakan pelaksanaan PKP hanya dalam masa 4 minggu sahaja.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan meskipun jangkaan tersebut lebih singkat, namun pelaksanaan bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka akan lebih lama iaitu selama 3 bulan.

Jangkaan bagi pelaksanaan tersebut adalah bertujuan melandaikan keluk peningkatan kes COVID-19.

Setakat ini angka catatan harian memaparkan 3,048 kes positif dicatatkan. Bagaimanapun paras kadar kebolehjangkitan dilihat semakin menurun kepada R0 1.06. KKM mengharapkan kadar penularan tersebut dapat diturunkan dengan lebih banyak dalam masa 2 minggu ini kepada paras R0 1.

Sekiranya berjaya dilakukan maka, ia dapat menstabilkan situasi pandemik negara.