Artikel

Seluruh Rakyat Negeri Sarawak Terima Faedah, Melalui Pakej Bantuan Bernilai RM405 Juta

Setelah Selangor, kini Sarawak pula mengumumkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 bernilai RM405 juta. Langkah itu bertujuan membantu rakyat negeri yang terkesan disebabkan penularan COVID-19 dan masalah banjir.

Ketika ini, sehingga 20 Januari – Sarawak menjadi negeri ketujuh yang mencatatkan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 mengikut negeri dengan catatan 1,231 kes. Maka menerusi saluran dana ini terdapat 11 langkah akan dilaksanakan bagi membantu rakyat negeri.

Antara insentif yang ditawarkan adalah lanjutan diskaun 5% hingga 25% bil eletrik mnakala bil air pula menerima diskaun 10% hingga 15%, dan pengecualian bayaran sewa gerai serta bayaran permit lesen perniagaan turut diberikan.

Pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut menerima manfaat penangguhan bayaran skim pinjaman. Tindakan itu secara terus dapat mengurangkan bebanan kos operasi dan tanggungan isi rumah yang terpaksa dipikul oleh rakyat negeri.

Menurut Ketua Menteri Sarawak – Datuk Patinggi Abang Johari, pelaksanaan ini perlu dirangka bagi mengatasi permasalahan negara. Pihaknya mengharapkan menerusi agihan vaksin kelak, penularan pandemik dapat diatasi.


Menerusi bantuan khas ini, ia bakal memanfaatkan sekitar 2.6 juta rakyat negeri Sarawak secara keseluruhannya. Tindakan baik kerajaan negeri dilihat mampu membantu pertumbuhan ekonomi negara dipulihkan semula.

Untuk makluman, Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia sehingga kini yang masih bebas dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimanapun, catatan harian jelas memaparkan terdapat peningkatan pada pengesanan kes positif COVID-19 di negeri tersebut.

Setakat 20 Januari, Sarawak telah mencatatkan kes harian COVID-19 sebanyak 203 kes positif.