Artikel

Senarai Industri Yang Dibenarkan Beroperasi Ketika PKP, Akan Dikaji Semula – DS Azmin Ali

Pelbagai sektor dan pemain industri kini mula mengusulkan cadangan untuk membenarkan beberapa organisasi beroperasi seperti biasa. Namun usul tersebut masih sedang disemak dan diteliti oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut Menteri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tindakan itu akan dikaji semula berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19. Ia bergantung sekiranya angka penularan dapat diturunkan semula.

Malah segala keputusan senarai industri terlibat akan merangkumi penilaian risiko dan nasihat dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri turut memperkatakan maklum balas yang sama apabila terdapat pihak yang memohon lanjutan tempoh operasi kedai makanan sehingga jam 10 malam atau 12 tengah malam dibenarkan. Namun perkara itu perlu diteliti semula.

Ini kerana sekiranya sesebuah sektor dibenarkan dan dilanjutkan tempoh operasi, maka sektor lain turut akan memohon tindakan yang sama. Perkara itu secara tidak langsung akan menghalang tindakan penguatkuasaan untuk mengurangkan penularan COVID-19. Jadi ia akan dipertimbangkan semula.


Berdasarkan situasi ini, penulis melihat permohonan kebenaran dan lanjutan sesebuah industri itu tidak akan menghalang tindakan pentadbiran untuk memutuskan rantaian COVID-19. Kebenaran tersebut perlu dilakukan berdasarkan kapasiti tenaga kerja dan garis panduan yang telah ditetapkan. Seharusnya tindakan penguatkuasaan masih boleh diperketatkan dengan mengenakan denda atau menghadkan penglibatan individu. Langkah itu masih dapat memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung.