Artikel

OPR Masih Kekal Di Paras 1.75% – Bank Negara Malaysia

OPR atau dikenali sebagai Overnight Policy Rate, Kadar Dasar Semalaman ini adalah sebuah kadar yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas pinjaman dana pada seluruh bank di Malaysia. Sehingga kini BNM masih mengekalkan kadar OPR pada paras 1.75%.

Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ini secara tidak langsung menyokong jangkaan bahawa pertumbuhan ekonomi negara akan ke arah pemulihan.

Sebelum ini, terdapat andaian bahawa kadar OPR akan mengalami penurunan sehingga 1.50% disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Proklamasi Darurat.

Ternyata Bank Negara masih positif ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Di mana, BNM menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan meningkat semula pada Suku Kedua 2021. Peningkatan itu akan didorong oleh pemulihan permintaan global, perbelanjaan sektor awam dan aliran perbelanjaan swasta turut akan bertambah baik.

Meskipun BNM positif terhadap pertumbuhan negara namun kadar inflasi Malaysia pada tahun 2021 ini dijangka puratanya tinggi. Sentimen itu didorong atas faktor harga minyak global yang semakin tinggi.

Tindakan pengekalan kadar OPR ini dilihat cubaan BNM untuk membantu mengukuhkan lagi dasar fiskal negara dikala gelombang pandemik COVID-19 semakin meruncing pada pertumbuhan tempatan.