Artikel

Shell Malaysia Rancang Pengurangan Tenaga Kerja – Sekitar 250 Hingga 300 Pekerja Terlibat

Shell telah telah menapak di Malaysia sejak tahun 1891 lagi. Syarikat minyak dan gas Anglo-Belanda itu telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Namun, disebabkan pandemik cabaran operasi semakin meningkat dan ini mendorong pengurangan pekerjaan perlu dilakukan.

Berdasarkan laporan Upstream Online, Shell Malaysia akan melakukan sasaran pertumbuhan dan pengurangan pekerjaan pada bidang tertentu dalam organisasi mereka. Antara yang terlibat adalah pengurangan 250 hingga 300 tenaga kerja dari perniagaan huluan (upstream).

Tenaga kerja perniagaan huluan adalah merangkumi tugasan berkaitan dengan tahap-tahap dalam proses pengekstrakan dan pengeluaran gas asli atau minyak sebelum tapisan bahan mentah.

Tujuan pengurangan tersebut adalah tindakan penyusunan semula syarikat serta meningkatkan semula kecekapan operasi. Bagaimanapun tindakan pengurangan 2% tenaga kerja itu akan dilakukan selama 2 tahun, secara berperingkat.

Tetapi fasa penyusunan itu tidak akan mengubah posisi pengurusan Shell Malaysia, seperti Menara Shell Kuala Lumpur tetap kekal sebagai pejabat Shell Malaysia Downstream. Manakala pusat operasi perniagaan pula masih kekal dilakukan di Wisma Shell Cyberjaya.

Malah, pihaknya juga mengatakan sebahagian pekerja Shell Malaysia Upstream akan dipindah ke pejabat prinsipal Miri, Sarawak. Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan kecekapan kerjasama.