Artikel

Kerajaan Masih Mengkaji Cadangan Melanjutkan Masa Operasi Premis Makanan – DS Ismail

Kedai makanan antara premis perniagaan yang terkesan di kala pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan pada 13 Januari lalu. Kerajaan telah menetapkan tempoh operasinya hanya pada jam 6 pagi sehingga 8 malam dan secara pembungkusan sahaja.

Susulan itu, terdapat cadangan dari orang awam dan para pekerja yang meminta operasi kedai makanan dibuka untuk suatu tempoh yang lebih lama iaitu sehingga jam 12 malam.

Bagaimanapun, Dato’ Sri Ismail Sabri Menteri Kanan (Keselamatan) mengatakan usul tersebut masih sedang dikaji dan diteliti bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini kerana terdapat pelbagai risiko yang perlu diambilkira sebelum cadangan tersebut dipersetujui.

Antara faktor yang mengekang kelulusan tersebut adalah sekiranya premis makanan dibenarkan beroperasi lebih lama – ia bermakna premis sektor lain akan turut meminta cadangan yang sama.

Tindakan itu perlu diteliti sebaik mungkin, MKN menjelaskan penetapan had operasi adalah untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 lebih serius dari terus berlaku.

Melihat situasi ini, bagi penulis lanjutan tempoh premis makanan adalah wajar dilakukan. Ia di bawah sektor keperluan yang wajar diberi kelonggaran kepada peniaga makanan dan pembeli. Sekiranya kelonggaran masa tersebut diberi sudah pasti ia akan memberi kemudahan kepada orang awam khususnya individu yang bekerja melebihi jam 8 malam.