Fraser & Neave Holdings Bhd atau lebih dikenali sebagai F&N – syarikat perniagaan air berkarbonat di Asia Tenggara kini akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan pasaran makanan halalnya.
Tumpuan tersebut dilakukan setelah F&N mengambilalih syarikat Sri Nona Food Industries, Sri Nona Industries dan Lee Shun Hing Sauce Industries Sdn Bhd dengan jumlah nilai RM60 juta pada Disember 2020 lalu. Untuk makluman jenama Sri Nona memiliki sasaran pasarannya tersendiri dalam jualan beras pulut -Nona Ketupat dan rangkaian pengeluaran sos tiram.
Menerusi kenyataan Bursa Malaysia – Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe mengatakan pelaburan terbaru syarikat akan berfungsi sebagai platform untuk mengembangkan segmen makanan kategori halal dan memenuhi permintaan produk makanan asas pengguna.
Malah menerusi pelaburan ini juga – ia membuka peluang F&N meneroka lebih mendalam berhubung pengeluaran produk halal yang lebih inovasi pada pertumbuhan pasaran. Perkara it secara langsung dapat meningkatkan lagi pulangan keuntungan untuk jangka masa panjang.
Menurut Lim juga berdasarkan kecekapan R&D yang dimiliki F&N serta pengalaman mereka maka sasaran tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai matlamat syarikat.
Setakat ini, pihaknya telah membuka pusat F&N Life di Kuala Lumpur, yang memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna seperti pilihan pengambilan sendiri dan penghantaran ekspres pada hari berikutnya untuk pembeli dalam talian. Kelak pihaknya berhasrat untuk menubuhkan lebih banyak pusat F&N Life di seluruh Malaysia untuk mewujudkan pengalaman pengguna yang lebih lancar.
Tindakan F&N dalam memberi tumpuan kepada pasaran inovasi halal ini sesuatu yang baik buat pembangunan ekonomi negara. Ia kerana bukan sekadar meningkatkan pertumbuhan nilai pasaran tersebut bahkan dapat meningkatkan lagi permintaan dari segi pengeluaran dan tenaga kerja kepada sektor ekonomi. Ini baik untuk bahagian pemasaran produk tempatan pada pasaran serantau.