Seperti yang umum ketahui, Selangor menjadi negeri pertama yang menggunakan platform digital untuk membantu para peniaga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020 lalu.
Ternyata usaha itu membuahkan hasil yang baik untuk Kempen E-Bazar pada tahun lalu – di mana antaranya Kempen Jualan Mega 11.11 berjaya mencatatkan hasil pendapatan sekitar RM1.04 bilion kepada ekonomi Selangor.
Apa yang lebih membrangsangkan adalah peningkatan penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga dapat dilihat pada platform tersebut. Di mana 26,744 PKS baharu telah dicatatkan dari penglibatan keseluruhan PKS iaitu 73,791 penjual.
Lebih menarik jualan terus kempen ini turut disokong oleh penawaran baucar dari kerajaan negeri Selangor yang bernilai sekitar RM3 juta. Insentif itu mendorong peningkatan yang lebih tinggi pada jualan kempen.
Antara 4 kategori jualan yang menjadi perhatian pengguna pada kempen ini adalah barangan rumah, peralatan, kecantikan dan kesihatan.
Untuk makluman, kempen ini telah memperolehi sokongan kerjasama dengan platform Shopee dan Lazada Malaysia. Usaha ini secara terus membantu memberi pendedahan kepada para peniaga tempatan menjana pendapatan menerusi platform atas talian.