Susulan penerapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Toyota dan Honda kini menghentikan seketika operasi mereka di beberapa kilang Malaysia.
Toyota telah menghentikan dua pusat pemasangan produknya pada 14 Januari (semalam), sementara itu Honda pula telah menangguhkan dua operasinya sejak Rabu lalu.
Bagaimanapun laporan Nikkei Asia setakat ini, pihak Toyota tidak memaklumkan sebarang pembukaan manakala Honda pula akan menangguhkan operasi tersebut sehingga 26 Januari kelak.
Untuk makluman, Malaysia adalah pengeluar kenderaan ketiga terbesar di Asia Tenggara – berikutan situasi semasa yang memperlahankan aliran ekonomi negara maka kerajaan telah melakukan pengurangan cukai pada jualan unit kenderaan penumpang.
Usaha itu jelas membantu industri automotif negara apabila berjaya menghasilkan pengeluaran kenderaan automatik melebihi jumlah jualan tahun sebelumnya sejak Jun 2020.
Selain Toyota dan Honda – Perodua syarikat pengeluaran kenderaan tempatan yang disokong Daihatsu Motor juga telah menghentikan operasi mereka pada 14 Januari 2021.