Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan berusia 60 tahun ke bawah, suntikan vaksin akan diberikan sekitar suku ketiga 2021. Iaitu dalam tempoh Julai-September.
Ini kerana agihan suntikan terbabit akan diberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan, warga emas dan individu yang memiliki penyakit kronik.
Menurut Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) jangkaan tersebut meliputi status kesihatan individu terbabit. Jika sihat tubuh badan, berusia di bawah 60-an dan bukan petugas barisan hadapan maka giliran suntikan adalah pada suku ketiga kelak.
Malah Khairy juga turut menyelar makluman mengatakan negara antara yang lambat menerima vaksin berbanding Singapura dan Indonesia. Menurutnya pelbagai faktor klinikal perlu diambil kira sebelum kerajaan melakukan sesuatu.
Bagi Singapura – pihaknya percaya terdapat penawaran harga premium pada bekalan tersebut menjadikan mereka antara yang terawal menerima. Manakala Indonesia pula terdapat kerjasama klinikal berhubung keberkesanan vaksin Sinovac. Ini antara sebab mengapa negara tersebut didahulukan.
Namun usah khuatir, pembekalan vaksin negara masih lagi yang terawal berbanding Jepun dan Korea Selatan. Setakat ini, sekitar 1 juta dos vaksin Pfizer akan diterima negara pada suku pertama 2021.