Artikel

Pasaran Penghantaran Makanan Malaysia Bernilai RM44.4 Bilion, Namun Tahap Pendapatan Pekerja Masih Rendah

Pasaran perkhidmatan penghantaran makanan Asia Tenggara kini memaparkan peningkatan, dan bagi pasaran Malaysia peningkatan sekitar 5.3 kali ganda telah dicatatkan.

Laporan Momentum Works pada Januari 2021 ini memperlihatkan perkhidmatan penghantaran Malaysia antara yang membrangsangkan.

Penghantaran makanan adalah sub-segmen dari keseluruhan pasaran perkhidmatan makanan. Perbezaannya di sini adalah bahawa pesanan dibuat dalam talian atau platform penghantaran restoran yang menghantarnya terus kepada pelanggan.

Antara faktor yang mendorong peningkatan itu adalah penglibatan pelaburan, perubahan tingkah laku pengguna dan situasi semasa.

Malah lebih merancakkan lagi permintaan tersebut adalah situasi pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai individu tertakluk dibawah perintah pergerakan dan memerlukan bekalan makanan untuk harian mereka.

Bagi tahun 2020, negara Asia Tenggara memperlihatkan pertumbuhan sekitar 183% berbanding 91% pada tahun 2019. Di mana, Singapura dan Thailand memaparkan sesi muat turun aplikasi penghantaran makanan meningkat sekitar 2 – 2.5 kali ganda pada bulan Mac dan April.

Meskipun pertumbuhan sektor ini terus memuncak namun perlu diketahui bahawa Asia Tenggara, secara keseluruhan, masih memiliki tahap pendapatan yang lebih rendah berbanding negara-negara seperti AS dan Eropah.

Berdasarkan data 2019 tahap pendapatan Malaysia adalah di bawah AS$500 – itu sebelum pandemik. Bagaiamana setelah pandemik? Sudah pasti peningkatan persaingan semakin tinggi, dan ia didorong peningkatan kadar pengangguran disebabkan pandemik COVID-19.

Syarikat penghantaran makanan seharusnya menyesuaikan strategi, model perniagaan dan operasi mereka untuk mendorong pengeluaran per kapita yang lebih tinggi untuk penghantaran makanan sambil mencapai skala pendapatan di wilayah sesebuah negeri. Ini kerana sehingga kini pendapatan isi rumah untuk sektor tersebut masih dianggap rendah.

Bagi mengetahui maklumat lanjut berhubung laporan penuh dapatan ini, boleh layari pada hari ini di pautan Momentum Works: Food Delivery Platforms in Southeast Asia (SEA).