Artikel

Pakistan Memperkenalkan Sistem Pembayaran Digital Tersendiri – Raast

Pakistan kini hadir dengan sistem pembayaran digital segera mereka tersendiri, dinamakan sebagai Raast.

Melaluinya, Pakistan menyasarkan untuk meningkatkan kadar literasi kewangan, dan pada masa yang sama mengalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik. Raast akan digunakan dalam memudahkan pembayaran, mahupun mengakses sistem kewangan dengan mudah.

Raast ini dibangunkan bersama Bill & Melinda Gates Foundation. Projek ini telah dibangunkan selepas mendapati yang mana ramai yang masih jauh daripada akses kewangan dan pembayaran. Kajian juga mendapati lelaki di Pakistan hampir lima kali lebih memiliki akaun bank berbanding wanita. Dan hanya 14% daripada 40% populasi miskin yang mempunyai akaun bank.

Raast akan melalui beberapa fasa pengenalan. Untuk fasa pertama ini, ia akan menawarkan kemudahan pembayaran gaji, pencen, dan beberapa bayaran daripada jabatan kerajaan Pakistan. Fasa seterusnya pula akan memfokuskan dalam membantu peniaga kecil dan sederhana, sebelum turut diperluaskan untuk memudahkan pembayaran antara pengguna.