Artikel

Kes Harian COVID-19 Kini Melebihi Angka 3,000 – Semua Himpunan, Majlis Keramaian Disarankan Tangguh Seketika

Itulah realiti yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia ketika ini.

Semalam, angka kes positif COVID-19 negara telah mencecah melebihi angka 3,000 kes. Sudah pasti keadaan ini memaparkan betapa tingginya tekanan yang sedang dihadapi oleh sistem kesihatan negara dan petugas barisan hadapan.

Oleh itu, pelbagai pihak mulai melontarkan pandangan agar pembentukan strategi baharu dapat dilakukan segera oleh pihak kerajaan untuk menangani situasi genting ini.

Antara yang paling pantas menyuarakan perkara tersebut adalah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham dengan menyatakan usul pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan secara Bersasar perlu dilakukan dalam kadar segera.

Pendapat tersebut telah berjaya mencuri tumpuan semua pihak. Malah pandangan tersebut turut mendapat sokongan pakar kesihatan yang lain. Sekiranya ia lambat dilaksanakan – jangkaan angka kes positif COVID-19 mampu mencecah purata 5,000 kes pada minggu kedua April 2021.

Sementara itu, berdasarkan laporan sesi temubual Astro Awani bersama Prof Madya Dr Malina Osman – pihaknya mengesa tindakan lanjut perlu dilakukan ini termasuklah membuat perubahan pada acara atau majlis keramaian yang bakal dilangsungkan dalam masa terdekat ini.

Saranan tersebut lebih mengkhususkan kepada mengurangkan kapasiti penglibatan orang ramai dan tidak melakukan sebarang tentatif makan bersama. Perubahan seperti membungkuskan makanan tersebut lebih memadai.

Ini kerana acara melibatkan sekumpulan manusia mampu meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19 pada negara.

Menerusi kaedah itu, potensi peratusan penularan dapat diturunkan. Ia demi kebaikan semua pihak.

Tidak hanya itu, semua pihak termasuklah ahli politik negara tidak disarankan mengadakan sebarang sidang media pada ketika ini. Penulis berasakan sebarang sidang media haruslah dilakukan secara maya sahaja.

Sekiranya perlu dilakukan secara fizikal, semua pihak terlibat perlulah mengehadkan kapasiti individu yang terlibat dan memastikan penjarakan fizikal dapat dilakukan dengan baik.

Penulis berpendapat kesemua saranan penjagaan diri tidak hanya tertakluk kepada rakyat biasa, namun pihak yang berkepentingan juga perlu tampil menjadi contoh yang baik buat semua rakyat negara.