Artikel

E-Rebat RM200 Kini Ditawarkan Pada Pembelian Barangan Elektrik Terpilih, Usaha Negara Tangani Isu Pelepasan Karbon

Bagi isi rumah yang membeli peti sejuk dan penghawa dingin cekap tenaga buatan tempatan pada tahun ini – akan diberikan e-rebat sebanyak RM200.

Mulai hari ini (7 januari) perolehan e-rebat tersebut dapat dilakukan menerusi pembelian fizikal dan platform atas talian seperti e-dagang.

Penawaran rebat itu adalah dibawah peruntukan RM30 juta – Belanjawan 2021 yang dijangka mampu memanfaatkan 150,000 isi rumah Malaysia.

Menurut Datuk Dr Shamsul Anuar Nasrah – Menteri Tenaga dan Sumber Asli pelaksanaan tersebut adalah dibawah program Sustainability Achievement via Energy Efficiency (SAVE) 2.0.

Kelayakan tersebut tertakluk kepada pengguna dan pemilik komponen yang berdaftar dengan syarikat utiliti elektrik seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Bhd (SEB) dan NUR Power. Kelayakan juga meliputi pengesahan pengujian prestasi peralatan cekap tenaga yang mendapat 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Menerusi penglibatan ramai pihak dalam program SAVE 2.0 ini – ia secara terus dapat memperkasakan lagi sasaran negara untuk penjimatan tenaga setara dengan RM22.26 juta di samping mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 39,164 tan setahun atau 56,430 anak pokok yang perlu ditanam selama 10 tahun untuk menyerap karbon.

Para pengguna dinasihatkan untuk merujuk senarai peralatan elektrik dan panduan rujukan harga menerusi pautan Save Energy bagi sebarang penjimatan yang lebih menarik.