Artikel

Tidak Kira Di Langkawi, Atau Di Mana Jua – Rakyat Perlu Sentiasa Mengekalkan Penjarakan Fizikal

Setelah 4 hari memasuki tahun 2021, pelancongan domestik dan tempat awam negara kini mulai mendapat sambutan yang tinggi dengan kehadiran orang ramai.

Ia sesuatu yang baik untuk ekonomi negara tetapi terdapat kekurangan telah dikesan pada aktiviti tersebut.

Apa yang cukup dikesali oleh penulis adalah masih ada segelintir pihak yang lupa akan penerapan amalan garis panduan kesihatan, iaitu menjaga penjarakan fizikal.

Laporan Astro Awani sebelum ini mendedahkan ribuan pengunjung termasuk warga tua dan kanak-kanak yang memasuki feri di Kuala Perlis ke Langkawi dikatakan tidak menitikberatkan soal penjarakan fizikal, apatah lagi kedudukan rapat antara satu sama lain.

Situasi ini dilihat begitu mengecewakan. Tanpa sedar mentaliti rakyat Malaysia berhubung risiko kesihatan masih lagi rendah.

Seharusnya penjagaan yang lebih teliti perlu diasah dan dipupuk dalam diri individu sendiri. Sekiranya semua pihak tidak memainkan peranan mereka, apakah usaha petugas barisan hadapan selama ini berbaloi? Realitinya kes positif kian meningkat dan purata angka kes negara ketika ini adalah mencecah 1,000 kes ke atas.

Tetapi mengapa masih ada pihak yang tidak menitikberatkan amalan tersebut.

Meskipun kerajaan negara telah memberi jaminan lebih 80% bekalan vaksin COVID-19 akan diagihkan kepada rakyat Malaysia, namun tidakkah dengan mengamalkan garis panduan yang ditetapkan itu juga dikira sebagai pra-vaksin?

Penetapan pemakaian pelitup muka, penjagaan jarak fizikal dan sentiasa membersihkan tangan itu adalah suatu tanggungjawab bersama – tidak hanya tertumpu kepada pihak tertentu sahaja. Ia bukan sekadar melindungi diri sendiri, tetapi turut melindungi pihak yang lain.

Penulis akui, bukan hanya di tempat tarikan, bahkan di tempat awam, pengangkutan awam – masalah penjarakan fizikal ini masih tetap berlaku.

Namun penekanan ini sering diingatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, khususnya Ketua Pengarah Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah – di mana jua kita berada penerapan garis panduan kesihatan perlu kekal dilaksanakan. Keperihatinan semua pihak perlu dilakukan secara bersama.

Sekiranya sebelum ini kita mampu mendatarkan semula peningkatan kes COVID-19, mengapa tidak sekarang?