Artikel

Sekitar 10% Kandungan Siaran TV Pendidikan Tersedia, Kelemahan Ini Mampu Menjejaskan Prestasi Pelajar

Sehingga kini hanya 10% atau 85 episod kandungan siaran TV Pendidikan sahaja yang tersedia untuk manfaat pelajar negara.

Perkara ini telah dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang Dewan Rakyat sebentar tadi. Di mana terdapat 25 episod telah disiarkan dan 60 episod lagi telah tersedia dan bakal ditayangkan kelak.

Namun perkara ini menimbulkan pelbagai persoalan berhubung keseluruhan kandungan 800 episod yang seharusnya dapat disediakan pihak produksi.

Untuk makluman, kontrak penyiaran kandungan TV Pendidikan bernilai RM1.9 juta telah diberikan kepada sebuah syarikat produksi.

Bagaimanapun, sekiranya pemaparan kandungan TV Pendidikan ini dilakukan secara perlahan, ia mampu menjejaskan prestasi dan memperjudikan sektor pendidikan negara.

Seharusnya alasan tiada penggambaraan, tidak patut diberikan – ini kerana kelonggaran pada sektor kreatif telah dilaksanakan.

Seperti yang ketahui seramai 1.7 juta murid negara tidak memiliki akses kepada peranti pintar untuk pembelajaran secara dalam talian. Oleh itu, kadar kebergantungan kepada kandungan TV Pendidikan dan buku teks amat penting untuk mengekalkan momentum pembelajaran para pelajar dikala operasi sekolah terpaksa ditutup.

Mengulas lanjut persoalan tersebut, Menteri Kanan Dr Mohd Radzi memberi jaminan bahawa kandungan terbabit akan dapat disediakan pada Februari 2021 ini.

Ini bermakna terdapat kelopongan masa 3 bulan untuk kandungan TV Pendidikan itu sepenuhnya tersedia kepada para pelajar.