Artikel

Proses Ujian Saringan COVID-19 Ke Atas Pekerja Asing Perlu Diteliti Semula – MMA

Tindakan kerajaan mewajibkan ujian saringan ke atas pekerja asing pada negeri yang terpilih dilihat mampu menimbulkan pelbagai kekangan kepada pihak kesihatan.

Menurut Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) tindakan itu adalah usaha yang baik, namun ujian saringan berskala besar perlu dilakukan bagi memastikan proses tersebut berjalan lancar.

Meskipun kaedah RTK Antigen akan dilakukan ke atas para pekerja asing dan diberi jaminan subsidi dibawah tanggungan majikan dan Perkeso namun proses ujian saringan itu dilihat akan menjadi perlahan.

Ini kerana, sampel ujian saringan perlu dihantarkan ke hospital dan perkara itu akan menyebabkan kelewatan keputusan, serta memperlahankan tindakan selanjutnya.

Malah, selain isu penghantaran sampel – isu pengambilan pesakit positif COVID-19 juga turut dibangkitkan. Di mana terdapat isu berhubung pengangkutan pengambilan pekerja mengambil masa yang lama. Perkara itu dilihat kurang praktikal terhadap penularan wabak.

Malah penglibatan orang tengah dan agensi yang tidak berkaitan dalam penawaran ujian saringan tersebut dilihat merumitkan lagi keadaan. Seharusnya pelaksanaan tersebut dilakukan dibawah kemudahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).