Meskipun ketika ini hampir 4 juta tenaga kerja di Malaysia telah terbentuk daripada sektor ekonomi gig – namun masih terdapat banyak kekurangannya pada faedah pekerjaan gig.
Peningkatan ini jelas baik untuk pertumbuhan ekonomi negara namun pelbagai persoalan berhubung faedah dan keselamatan pekerja gig ini mulai dipertikaikan di sidang Dewan Rakyat minggu ini.
Kerajaan setakat ini telah memperuntukan insentif yang melibatkan kesejahteraan pekerja gig dalam pakej Penjana bernilai RM75 juta.
Selain itu, pada dana Belanjawan 2021, kerajaan mengusulkan tambahan sebanyak RM110 juta ringgit kepada Micro Enterprises Facility di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTEKAD.
Walaupun insentif sedemikian meliputi faktor keselamatan namun ia dilihat tidak secara menyeluruh. Kerana apa? Masih ramai pekerja gig yang tidak dipelihara hak pekerjaan mereka sekiranya sesuatu kecemasan berlaku.
Bahkan, ada diantara pekerja gig terpaksa mengambil langkah persendirian melindungi hak mereka. Perkara itu dilihat kurang seimbang.
Pihak atasan seharusnya menitikberatkan faktor faedah kepada pekerja gig dalam perundangan negara. Berdasarkan skala global, statistik pekerja gig berusia 25 tahun hingga 34 tahun kini telah mulai meningkat pada 46%. Ini baik untuk pasaran dunia dan seharusnya diberi pulangan yang memadai kepada pekerja gig.
Untuk makluman, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Julai lalu telah mencatatkan pertumbuhan tenaga kerja gig Malaysia meningkat sebanyak 31% pada tahun 2017, melebihi pertumbuhan tenaga kerja konvensional.
Angka ini meliputi penglibatan 160,000 pemandu seru-pandu di sektor ekonomi Malaysia.
Jadi apalah untungnya sekira penglibatan pekerja gig telah membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, namun faedah yang dimiliki oleh mereka masih lagi rendah dan tidak memadai. Peruntukan insentif sememangnya baik untuk pembangunan namun bagi kelangsungan jangka panjang ia dilihat masih lagi kurang membrangsangkan.