Artikel

Sekitar 37% Murid Tidak Memiliki Peranti Pintar, Gagal Ikuti Pembelajaran Atas Talian

Kesan pandemik bukan hanya tertumpu pada ekonomi sahaja, namun turut meliputi pendidikan negara.

Menurut sidang Dewan Rakyat hari ini, sekitar 37% murid tidak memiliki peranti pintar untuk mengakses pembelajaran secara dalam talian. Malah, berikutan mengalami kelemahan rangkaian internet – ia secara tidak langsung merencatkan lagi pembelajaran para pelajar secara maya.

Ini menjadikan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membantu para pelajar melalui pembelajaran seperti biasa tidak mampu dicapai.

Apa yang lebih merunsingkan pada kelompok pelajar pendalaman yang tidak memiliki akses internet dan hanya bergantung kepada input TV Pendidikan.

Menurut perkongsian data bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengatakan pelaksanaan program TV Pendidikan itu tidak memuaskan. Ini kerana terdapat beberapa subjek dan peruntukan masa tertentu sahaja dipaparkan kepada para pelajar.

Sebagai contoh, subjek Tingkatan 6 hanya dipaparkan sebanyak 3 subjek sahaja iaitu Fizik, Ekonomi dan Sejarah. Manakala pada peringkat rendah, subjek pembelajaran Tahun 1 pula hanya dipaparkan selama 30 minit sahaja iaitu subjek Matematik – sedangkan peruntukan pembelajaran Tahun 1 ditetapkan sekitar 300 minit, tidak pada 30 minit.

Menerusi kekangan tersebut, ini akan meningkatkan lagi kelemahan, kekurangan minat dan kualiti institusi pendidikan.