Seperti industri telekomunikasi yang lain, Yoodo turut merasai cabaran kesan dari pandemik COVID-19 – namun perubahan strategi perniagaan perlu dilaksanakan untuk terus kekal relevan dalam industri.
Menurut Chow Tuck Mun, Ketua Yoodo ketika sesi temubual bersama Rnggt – antara cabaran utama yang dihadapi oleh pihak Yoodo adalah bagaimana pihak mereka dapat menggunakan infrastruktur yang sedia ada untuk memanfaatkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Jawapannya adalah pendekatan digital.
Cabaran Yoodo
Menyedari cabaran itu – pelanggan Yoodo kini tidak perlu pergi ke mana-mana kedai runcit untuk melanggani perkhidmatan mereka, hanya sekadar menggunakan aplikasi sahaja untuk memenuhi segala kehendak data atau ingin mengubah sebarang kombinasi data sebelumnya. Kebolehcapaian jarak jauh inilah yang membolehkan Yoodo mengharungi cabaran COVID-19.
Lebih menarik, menerusi pendekatan digital ini – peningkatan pertumbuhan Yoodo telah meningkat sebanyak 17% dengan peningkatan penggunaan data pula sebanyak 41%.
Tindakan perubahan secara digital ini bukan sahaja perlu dilakukan lebih awal bahkan, sokongan daripada syarikat dan komuniti jenama sendiri perlu diperkukuhkan.
Selain itu perancangan strategi perlulah diperluaskan, di mana Yoodo tidak hanya mengambil satu alternatif sahaja – pihaknya mulai mengembangkan kerjasama dan mempelbagaikan lagi tawaran data kepada pengguna sewaktu PKP ini.
Pakej data bantuan sebanyak 1GB percuma setiap hari telah diberikan kepada para pengguna, disamping dengan tawaran perkhidmatan lain seperti siri Stay At Home Party serta melalui kolaborasi bersama Universal, Warner Music, data tambahan pada aplikasi TikTok dan Astro Go.
Usaha itu sebagai langkah, penghargaan kepada pengguna aktif dan tawaran hiburan berdasarkan aliran minat pengguna Yoodo.
Terdapat Sisi Kebaikan Pandemik Pada Industri Negara
Yoodo percaya bahawa wabak COVID-19 telah mempercepatkan industri dari segi pendigitalan. Sama seperti banyak industri lain, wabak tersebut telah memacu organisasi untuk menjadi lebih berani dalam inovasi mereka dan lebih terbuka untuk menggunakan teknologi dan konsep baharu.
Dalam jangka masa panjang, ini akan memanfaatkan industri dan juga pengguna. Melalui pengalaman ini, Chow Tuck Mun percaya lebih banyak syarikat telekomunikasi akan lebih memahami keperluan untuk mendigitalkan fungsi mereka dan juga mendapat penghargaan yang lebih mendalam mengenai kepentingannya untuk pelaburan di dalam sektor ini.
Secara tidak langsung syarikat telekomunikasi turut mula menyedari peranan penting yang dimainkan mereka bagi golongan yang menghadapi kesukaran ketika ini.
Sasaran Yoodo
Setakat ini, Yoodo akan terus melabur dalam menginovasi ciri-ciri dan tawaran produk baharu mereka untuk memberikan pilihan yang lebih banyak kepada pengguna, mengikut kesesuaian mereka sendiri. Sejak wabak ini bermula, beberapa produk baharu telah dilancarkan seperti Power Pass atau Renew Anytime – yang membolehkan pengguna menyesuaikan pelan mudah alih mereka, bila-bila mereka mahu.
Pihaknya turut memperkenalkan pelan data tanpa had pertama di Malaysia yang benar-benar boleh disesuaikan. Pelan ini membolehkan pengguna mengubah suai kelajuan data, kuota hotspot dan aspek lain pelan data tanpa had mereka.
Secara tidak langsung, gabungan pendekatan 100% digital dalam perniagaan, komunikasi dan interaksi ini bukan sahaja membezakan Yoodo dari syarikat telekomunikasi yang lain, malah menempatkan mereka selangkah lebih maju daripada pemain industri.